terbaca post dari sahabat baik yang sekarang berada di Indonesia.
dapat merasakan setiap ayat yang ditulis semacam mengimbas pangalaman sendiri di rantau orang
"sejak saya keluar tengok negara orang ni, saya jadi lebih patriotik. dan juga jadi lebih racist.
maaflah. mungkin pemikiran saya jadi sempit. tapi experience buat saya kenal orang lain. entahlah, mungkin cuma saya 
yang tak bernasib baik berjumpa dengan orang yang bukan sebangsa dengan 
saya yang boleh mengubah pemikiran saya sekarang ni"
apa yang dilalui oleh beliau saling tidak tumpah dengan situasi saya disini. di sini aku jumpa pelbagai ragam manusia. di sini aku mengenal golongan orang yang langsung tidak bangga menjadi bangsanya sendiri. 'mother tongue' juga boleh dipersoalkan. tidak perlu utamakan bahasa kita bila English bahasa moden yang kita perlukan utk berjaya.dia yang pendek akal atau aku yang terlalu sempit? pelik. seingat aku ayah dan bonda di kampung selalu ckp, siapa lagi nak bangga dengan bangsa kita kalau bukan kita sendiri. siapa yang nak bercakap bahasa kita kalau bukan kita sendiri? takkan kau nak harap Tom Cruise belajar bahasa kaum kau dan gunakan di rumah? Takkan kau nak harap Warner Bro keluar film bahasa kau? tentu kau sendiri yang kena guna bahasa kau. BENGAP.
ada pulak Melayu sendiri yang sangkal asal usul kita dari mana. Bangsa lain punya agenda, kau pula ikut sahaja. bijak. sini aku kongsikan petikan yang bagi aku patut dibaca oleh semua RAKYAT MALAYSIA YANG TAK PUAS HATI DENGAN HAK KEISTIMEWAAN MELAYU.
sila baca:
SEJAK akhir ini ada kecenderungan oleh 
pihak-pihak tertentu yang mempertikaikan keistimewaan yang diberikan 
kepada orang-orang Melayu.
Mereka menuntut kedudukan yang sama 
dengan orang Melayu daripada pelbagai segi padahal keistimewaan yang 
diberikan kepada orang Melayu bukanlah mengambil hak kaum-kaum lain.
Ada pihak yang mempertikaikan kenapa 
orang Melayu diberi keistimewaan sedangkan Melayu juga asalnya pendatang
 yang datang ke negara ini. Hakikatnya banyak pihak melupakan sejarah 
yang mencatatkan pengorbanan orang Melayu memberi kerakyatan kepada 
bukan Melayu semasa mencapai kemerdekaan.
Pertikaian tentang hak keistimewaan orang
 Melayu terus dibangkitkan walaupun dalam Perlembagaan menyebut tentang 
hak-hak tersebut. Pada masa yang sama Perlembagaan tidak mendiskriminasi
 kaum-kaum tertentu kerana Perlembagaan mendapat persetujuan semua 
pihak.
Kita juga memberikan pengkelasan yang 
tidak tepat apabila menganggap tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan 
India menjadi tonggak di negara ini.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah
 menjelaskan, dalam Perlembagaan menyebut bangsa Malaysia terdiri 
daripada lima kaum iaitu Orang Asli, Melayu, Bumiputera Sabah serta 
Bumiputera Sarawak dan kaum-kaum lain.
“Saya syorkan kita berhentilah 
menggunakan istilah Melayu, Cina,  India ini kerana dari sudut 
Perlembagaan tidak ada disebutkan kaum Cina dan India. Namun kita yang 
memberikan kedudukan kepada mereka,” tegas Mohd Noor ketika diwawancara 
oleh wartawan Mingguan Malaysia KU SEMAN KU HUSSAIN dan HAFIZAHRIL ABDUL HAMID Khamis lalu.
MINGGUAN: Disebabkan banyak pihak tidak faham kedudukan Melayu dalam Perlembagaan, boleh Datuk huraikan perkara ini?
MOHD NOOR:
 Saya ingin terangkan dahulu perkara-perkara penting tentang orang 
Melayu di dalam Perlembagaan. Saya melihat banyak NGO-NGO Melayu 
sekarang ini bertindak dalam keadaan marah dan bukan menjawab mengikut 
undang-undang. Kerana itu pertama sekali saya ingin menjelaskan dalam 
perkara satu, negara ini perlu dikenali dalam Bahasa Melayu dan bahasa 
Inggeris dengan nama Malaysia. Malaysia ini asalnya dari perkataan 
Malaya. Malaya itu mengikut Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dahulu
 adalah Persekutuan Tanah Melayu. Sepatutnya ia habis di situ. Oleh itu 
negara ini dikenali dunia sebagai Tanah Melayu dan tidak disebut sebagai
 Persekutuan Tanah Melayu.
Nama Malaysia adalah termasuk Semenanjung
 Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Itu istilah sebenar mengikut 
Perlembagaan. Tidak timbul masalah apabila disebut Semenanjung, Sabah 
dan Sarawak walaupun dilihat sebagai berbeza kerana sebagai sebuah 
negara ia akan tetap disebut Malaysia. Contohnya Orang Asli hanya 
terdapat di Semenanjung seperti orang Senoi, Jakun dan Negrito. Orang 
Asli adalah aborigin bagi Semenanjung. Di Sabah dan Sarawak tidak ada 
Orang Asli. Ini hakikatnya. Penduduk di Sabah dan Sarawak dipanggil 
native (bumiputera). Orang Melayu juga bukan Orang Asli. Orang Melayu 
juga native (bumiputera). Kita sama dengan orang Sabah dan Sarawak dalam
 konteks kita adalah native di Semenanjung dan setaraf dengan Bumiputera
 Sabah dan Sarawak. Mereka inilah yang datang selepas Orang Asli. Native
 ini jugalah yang diistilahkan indigenous people. Orang yang datang 
kemudian dipanggil imigran. Semua 28 suku kaum di Sabah dan Sarawak 
termasuklah Iban, Penan, Dayak dan sebagainya native. Dahulu native ini 
dikenali sebagai anak negeri namun kini ia dikenali sebagai bumiputera.
Boleh Datuk terangkan perbezaan antara indigenous dan aborigin dalam Perlembagaan?
MOHD NOOR:
 Ada dua perbezaan yang besar antara aborigin dan indigenous . Aborigin 
adalah penduduk asli negara ini dan indigenous paling sesuai untuk 
ditafsir ialah peribumi dan mereka ini dilihat bersesuaian dengan 
keadaan dan sekeliling mereka. Oleh itu adalah jelas orang Melayu dan 
native di Sabah dan Sarawak adalah sama sebagai peribumi. Maka 
bumiputera itu adalah terjemahan kepada native. Oleh
 itu jangan kata orang yang lahir di situ adalah bumiputera tetapi 
sebenarnya tidak. Begitu juga orang Cina dan India yang lahir di sini, 
mereka bukan bumiputera. Ini kerana bumiputera bukan sahaja lahir di 
sini tetapi keadaan hidupnya adalah bersesuaian dengan keadaan 
sekelilingnya.
Apakah yang lebih tepat untuk mengkelaskan misalnya Melayu, Cina dan India di negara ini dalam konteks Perlembagaan?
MOHD NOOR:
 Kesilapan besar kita ialah hanya mengenali bangsa sebagai Melayu, Cina 
dan India. Apakah kerana orang Melayu datang dahulu kemudian orang Cina 
dan kemudian India? Atau kerana orang Melayu paling ramai kemudian 
diikuti Cina dan India? Beritahu saya manakah negara yang tidak ada 
bangsa? Sama ada bangsa itu integral iaitu ada bangsa lain yang 
menumpang tetapi masih lagi disebut sebagai bangsa seperti bangsa 
Indonesia, bangsa Filipina, bangsa British, Perancis, Jerman dan 
sebagainya.
Menurut Perlembagaan, bangsa Malaysia 
terdiri daripada lima kaum. Maka bangsa Melayu itu diturun taraf kepada 
kaum. Namun kaum Melayu adalah teras di negara ini dan kita ajak kaum 
lain untuk bekerjasama sebagai bangsa Malaysia. Lima
 kaum itu terdiri daripada, pertama Orang Asli, kedua orang Melayu, 
ketiga kaum bumiputera Sarawak, keempat kaum bumiputera Sabah dan kelima
 adalah kaum-kaum lain.
Apabila menurunkan taraf orang Melayu 
kepada kaum, orang Cina dan India juga diturunkan taraf kepada 
“kaum-kaum lain”. Saya bercakap mengikut Perlembagaan dan jika kita 
menganggap teras negara ini terdiri dari kaum Melayu, Cina dan India, 
itu adalah salah. Di mana definasi Cina dan
 India di dalam Perlembagaan? Dalam Perlembagaan ada disebut orang 
Melayu, Bumiputera Sabah dan Bumiputera Sarawak. Macam mana hendak 
definisikan Cina dan India di negara ini jika sudah terdapat negara asal
 mereka dan keturunan mereka di sana. Oleh
 itu maknanya mereka ini bangsa Malaysia yang ada hubung kaitnya dengan 
soal bahasa, budaya, keturunan dan sebagainya dengan negara asal mereka. Sama ada mereka hendak terima atau tidak, itu adalah hakikatnya.
 Orang Melayu pun jatuh nombor dua dan bumiputera di tempat ketiga. Ini 
berlaku kerana dari segi sejarahnya Orang Asli ini lebih dahulu sampai, 
lepas orang Melayu barulah kaum-kaum lain sampai ke negara ini.
Tidak lama dulu ada pihak menghujahkan bahawa Melayu juga pendatang kerana penduduk asal adalah Orang Asli. Apa komen Datuk?
MOHD NOOR: Semasa
 empayar China dahulu kalau berpindah dari Han ke Chin atau dari Beijing
 pergi ke selatan hingga ke Mongolia adakah mereka berpindah dari satu 
negeri ke satu negeri? Mereka tidak berpindah tetapi hanya bergerak 
sekitar empayarnya. Begitu juga orang Melayu hanya berada di alam 
Melayu. Sejak kerajaan Sri Wijaya dahulu kita pernah mempunyai satu 
empayar agung yang meliputi Indonesia, Brunei, Filipina sebagai satu 
dunia Melayu. Oleh itu kita tidak berpindah hanya bergerak sekitar dunia
 Melayu. Namun apa yang berlaku sekarang ini adalah akibat 
penjajah Barat yang memecah-belahkan dunia Melayu. Indonesia diberi 
kepada Belanda, Tanah Melayu diberi kepada Inggeris. Jika tidak dipecahkan, dunia Melayu bersatu tetapi
 akibat penjajahan Barat ini kita berpecah belah. Jadi kenapa ada pihak 
berkata Melayu datang dari luar? Melayu hanya bergerak berkelompok di 
sekitar dunia Melayu ini.
Tetapi yang pasti orang Cina dan India bukan dari kelompok itu. Jika mereka kata Melayu seperti mereka, itu tidak benar.
 Yang sebenarnya adalah agama. Memang orang Melayu dulu beragama Hindu 
namun kemudian memeluk agama Islam tetapi bukan berasal dari India. Orang Melayu di sini kita gunakan istilah Nusantara yang bermaksud nusa antara nusa-nusa.
Jadi, maksud Datuk kita mesti melihat dari sejarah dan bukan keadaan sekarang yang dipisah-pisahkan?
MOHD NOOR: Orang
 Indonesia berhijrah ke Malaysia dari satu alam Melayu ke satu alam 
Melayu yang lain. Saya ingin bertanya adakah orang India yang berpindah 
dari Tamil Nadu ke Goa boleh dikatakan pendatang? Bukankah pelik jika 
orang Melayu yang bergerak dari Indonesia ke Tanah Melayu jadi 
pendatang? Kita kena melihat dari segi sejarah bukan pada masa 
sekarang. Jika sekarang sudah tentu berdasarkan undang-undang imigresen 
dianggap sebagai pendatang. Jika kita lihat sebelum penjajah memecah- 
belahkan kita, dunia sebelah sini adalah alam Melayu. Namun kini 
hakikatnya orang dari semua lima kaum tadi, kedudukan Orang Asli, orang 
Melayu dan bumiputera termasuklah bumiputera Sabah dan Sarawak 
terpinggir berbanding kaum-kaum lain. Itulah yang saya sedihkan. Oleh 
itu kita berhentilah menggunakan istilah Melayu, Cina, India ini kerana 
dari sudut Perlembagaan tidak ada disebutkan kaum Cina dan India. Namun 
kita yang memberikan kedudukan kepada mereka. Yang
 disebut ialah kedudukan orang Melayu dan Melayu disebut sebanyak 54 
kali dalam Perlembagaan. Cina dan India langsung tidak disebut dalam 
Perlembagaan. Mereka harus sedar tentang perkara ini. Oleh itu 
kita harus sebut dengan jelas kedudukan ini, sama ada kita semua adalah 
bangsa Malaysia atau pun mereka hanyalah sekadar kaum-kaum lain saja.
Adakah Perlembagaan kita mendiskriminasikan kedudukan kaum-kaum lain ini?
MOHD NOOR:
 Perkara ini tidak berlaku kerana Perlembagaan ini dipersetujui oleh 
semua pihak ketika mula-mula digubal. Maknanya tidak ada diskriminasi 
jika semua pihak bersetuju. Perkara ini tidak patut timbul sama sekali 
malahan mereka patut akur bahawa Perlembagaan tidak langsung menyebut 
tentang kaum Cina dan India. Kita ambil contoh Barack Obama, beliau memperkenalkan dirinya sebagai African-American.
 Cuba beritahu yang mana penting dalam istilah tersebut? Jika kita 
melihat kepada nahu bahasa, adjektif adalah yang menerangkan kata nama. 
Jika kita lihat ada kaum Cina mengaku mereka sebagai Malaysian Chinese, 
Malaysia yang menjadi adjektif dan Chinese menjadi kata kerja. Jika 
dilihat kata kerja itu lebih penting dari adjektif. Oleh
 itu kita dapat lihat nama Chinese lebih penting daripada nama 
Malaysian. Ini menunjukkan mereka lebih berbangga dengan nama Chinese 
diletakkan di depan bukan Malaysian.
Apa mesej Datuk daripada contoh di atas?
MOHD NOOR:
 Bagi mereka nama Chinese yang lebih penting daripada Malaysian. Orang 
Cina sangat berbangga dengan tamadun mereka yang maju. Oleh itu, di mana
 mereka berada mereka lebih berbangga dengan kedudukan dan tamadun 
mereka. Maka kita harus memberitahu mereka 
ini bahawa mereka adalah Chinese Malaysian supaya mereka tahu mereka 
menghargai negara ini dan bertindak sebagai bangsa Malaysia.
Bagaimana dengan kedudukan raja-raja Melayu?
MOHD NOOR:
 Raja-raja Melayu ini merupakan yang empunya Semenanjung Tanah Melayu. 
Mereka ini memerintah secara mutlak. Walaupun mereka memerintah tetapi 
tetap ada penasihat seperti bendahara, temenggung dan sebagainya. Namun 
akibat dari peranan penjajah semua ini dimanipulasi hinggalah kita 
mencapai kemerdekaan. Sebenarnya raja yang memerintah. Kuasa memerintah 
terletak kepada raja dan bukan Perdana Menteri. Raja yang memerintah dan
 Perdana Menteri mengurus tadbir negara. Cara pemerintahan itu ialah 
pertama raja sendiri yang memerintah. Kedua raja memerintah mengikut 
nasihat. Ketiga raja memerintah melalui Perdana Menteri. Namun raja 
adalah berperlembagaan dan tidak lagi seperti dahulu. Kini kuasa raja 
hanya terhad kepada tiga sahaja iaitu yang pertama melantik Perdana 
Menteri. Kedua, raja yang memperkenankan pembubaran Parlimen. Ketiga 
apabila raja ingin mengadakan Persidangan Majlis Raja-Raja maka mereka 
mempunyai kuasa untuk memanggil mesyuarat tersebut.
Bagaimana pula dengan kontrak sosial yang membawa kepada kemerdekaan negara ini?
MOHD NOOR: Kontrak sosial bukanlah istilah undang-undang. Ia
 satu perjanjian antara kaum-kaum di negara ini di mana orang Melayu 
memberi kerakyatan sebanyak 800,000 kepada orang Cina dan India semasa 
kita menuntut kemerdekaan dahulu. Mereka ini subject to British colony di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Mereka
 ini bukan warganegara negara ini ketika itu. Maka penjajah British 
memberi syarat jika mahukan kemerdekaan mereka ini perlu diberi 
kewarganegaraan. Oleh itu sebagai balasan, orang Melayu perlu diakui 
mempunyai kedudukan istimewa sebagai peribumi di negara ini. Tiga
 keistimewaan harus diberi kepada orang Melayu iaitu pentadbiran negara 
ini diberi kepada orang Melayu. Pelajaran dan biasiswa diberi kepada 
orang Melayu dan permit dan perniagaan diberikan kepada orang Melayu.
 Ini kerana orang Melayu keciciran dalam banyak bidang. Dahulu penjajah 
buat sekolah di kawasan bandar. Oleh sebab itu orang Cina ramai yang 
pandai manakala orang Melayu pula ramai yang tinggal di kampung, asalkan
 dapat makan pakai serta dapat mereka beribadat, itu sudah cukup. Namun 
apabila merdeka orang Melayu ini tidak mahu lagi keciciran dalam semua 
segi.
Bagaimana pula dengan hak keistimewaan orang Melayu selepas 52 tahun merdeka?
MOHD NOOR:
 Jika kita lihat raja-raja kita dahulu berpandangan jauh telah 
memikirkan untuk menubuhkan Rejimen Askar Melayu untuk menjaga 
keselamatan orang Melayu kemudian ditubuhkan pula undang-undang rezab 
tanah Melayu. Semua ini dilakukan atas nama kebimbangan sekiranya 
sesuatu berlaku terhadap orang Melayu. Saya
 istilahkan dua tiga serangkai, rangkai pertama ini saya namakan warisan
 orang Melayu iaitu Raja Berperlembagaan, agama Islam dan Bahasa Melayu.
 Definisi orang Melayu ialah orang beragama Islam, bertutur dalam bahasa
 Melayu dan adat Melayu yang mewakili raja-raja Melayu.
Seterusnya 
rangkai yang satu lagi saya namakan pusaka orang Melayu. Pertamanya 
ialah Askar Melayu, kedua tanah rezab Melayu dan yang terakhir kedudukan
 istimewa orang Melayu. Ia dinamakan pusaka kerana ini merupakan 
peninggalan pemimpin kita dahulu. Oleh itu semua usaha ini perlu 
diteruskan dan dipertahankan oleh semua orang Melayu. – Utusan Malaysia online
mungkin dah terlalu muak, hati ni dah tak sabar nak mengabdi diri pada negara.